THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES

Ahad, 30 Oktober 2011

kempen cintai alam sekitar






Kitar semula ialah proses mengolah semula bahan buangan untuk menghasilkan barangan yang baru.

Namun jika ditanya kenapakah pentingnya kitar semula? Kemungkinan pelbagai jawapan yang diterima. Dengan kitar semula, kita dapat mengurangkan bahan buangan, mengurangkan penggunaan bahan mentah baru, mengurangkan penggunaan tenaga, mengurangkan pencemaran dan mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau kerana penghasilan barang baru daripada bahan mentah.

Atas kesedaran inilah, banyak kempen berkaitan kitar semula telah dilaksanakan oleh agensi kerajaan mahupun badan bukan kerajaan. Kitar semula merupakan komponen utama bagi pengurusan bahan buangan pada zaman moden ini. Kemudian wujudlah slogan ’3R: Reduce (Kurangkan), Reuse  (Guna Semula) & Recycle (Kitar Semula)’ bagi menekankan betapa pentingnya kitar semula untuk memastikan alam sekitar kita terpelihara.
Antara bahan buangan yang boleh dikitar semula termasuklah aluminium, plastik dan surat khabar. Aluminium merupakan bahan yang boleh dikitar semula 100%. Menurut fakta, aluminium boleh digunakan semula dalam tempoh 60 hari selepas dikitar semula. Aluminium ini juga boleh dikitar semula untuk tujuan yang sama beberapa kali. Begitulah uniknya sifat aluminium. Selain itu, aluminium yang dikitar semula hanya menggunakan 5% tenaga jika dibandingkan penghasilan aluminium dengan bahan yang baru. Anda boleh mengitar semula semua bahan yang diperbuat daripada aluminium, namun mulalah dengan yang mudah dahulu seperti tin minuman ringan.

Plastik juga merupakan bahan yang penting untuk dikitar semula kerana penggunaannya meluas di Malaysia. Lebih banyak yang dikitar semula, maka berkurangan plastik yang terkumpul di tempat pembuangan sampah. Tenaga yang digunakan untuk menghasilkan plastik daripada kitar semula hanya 2/3 daripada menghasilkan plastik yang baru.

Bahan buangan daripada kertas juga meluas digunakan di negara ini. Contohnya seperti surat khabar, majalah dan surat. Mengitar semula bahan yang diperbuat daripada kertas ini dapat memelihara sumber (pokok), menjimatkan tenaga dan mengurangkan keluasan kawasan pelupusan sampah.

Sebagai masyarakat yang prihatin, kita boleh mengambil inisiatif dengan membuang bahan-bahan buangan ini ke dalam tong kitar semula. Terdapat 165 syarikat kitar semula di Malaysia (www.sisa.my). Begitu juga dengan maklumat mengenai pusat pengumpulan bahan kitar semula di setiap negeri di Malaysia untuk kemudahan orang ramai.

Rabu, 26 Oktober 2011

Kepentingan Udara, Air dan Cahaya Matahari

              Perpustakaan Desa Kaki Bukit sering melakukan pelbagai aktiviti dalam usaha dalam membentuk kreativiti dan semangat kerja berpasukan di kalangan kanak-kanak. Menurut Pembantu Perpustakaan, Suzilawati Mohd Salleh, antara aktiviti yang diadakan seperti membuat rama-rama, membuat rumah 3D, eksperimen sains, membuat mahkota dan membuat arnab. Seramai 10 orang kanak-kanak Tadika GBBM telah membuat lawatan ke Perpustakaan Desa Kaki Bukit pada 7 April 2011 yang lalu. Suzilawati memberitahu lawatan ini diadakan bagi memperkenalkan kanak-kanak Tadika akan fungsi dan kemudahan yang terdapat di perpustakaan.
               Pada hari yang sama, perpustakaan telah mengadakan aktiviti membuat rama-rama cantik. Setiap peserta diberikan sekeping kertas berbentuk rama-rama. Mereka dikehendaki meletakkan warna-warna yang disukai di atas kertas tersebut. Kemudian kertas yang telah diletakkan warna tersebut di lipat dan ditekan agar warna-warna tadi bercampur di antara satu sama lain. Kanak-kanak begitu teruja ketika membuka kertas rama-rama tersebut kerana warna yang diletakkan pada permulaan proses telah bercampur dan menghasilkan corak yang menarik.
               Selain itu, perpustakaan juga telah mengadakan satu eksperimen sains yang disertai seramai 11 orang kanak-kanak pada 13 Mac 2011 yang lalu. Peralatan seperti bekas plastik, kapas, gunting dan kacang hijau telah disediakan oleh pihak perpustakaan. Suzilawati berkata, eksperimen sains ini diadakan bertujuan untuk mengkaji keperluan asas tumbuhan iaitu cahaya matahari, udara dan air. Para peserta dikehendaki memasukkan kapas ke dalam bekas. Kemudian direnjiskan air agar kapas tersebut basah. Seterusnya beberapa biji kacang hijau diletakkan di atas kapas yang lembap tadi dan diletakkan di bawah sinar cahaya matahari.
           Menurut Suzilawati lagi, para peserta hendaklah memastikan kapas tersebut sentiasa lembap sepanjang eksperimen dijalankan. Kanak-kanak kelihatan begitu gembira apabila melihat kacang hijau mereka mula bercambah pada hari yang kelima. Mereka berasa begitu teruja kerana tidak menyangka dari sebiji kacang hijau akan bercambah menjadi sayur tauge. Secara tidak langsung aktiviti yang diadakan ini dapat memberi idea kepada kanak-kanak bagaimana tumbuhan memerlukan cahaya, air dan udara untuk hidup sama seperti manusia juga.
 

(KK9: 26 April 2011 – Oleh: Alina Zaireen Ismail)

Ahad, 9 Oktober 2011

sains dan persekitaran.

Hidupan dan alam sekitar saling memerlukan untuk terus  hidup.

Kehidupan ini juga sering dikaitkan dengan sains.

Justeru, sejak kecil kanak - kanak perlu didedahkan dengan sains supaya mereka sedar tentang kepentingan menjaga dan mencintai alam di persekitaran mereka.